APRIL 2023

PPWS Bantu Majukan Sarawak


LAWAS: Badan bukan kerajaan (NGO) melibatkan wanita seperti Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) merupakan landasan terbaik memacu peranan wanita dalam membangunkan Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak.

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, PPWS adalah sebuah institusi yang berjaya menyatupadukan rakyat khususnya wanita tanpa mengira kaum dan latar belakang agama.

“PPWS diyakini dapat menyatupadukan wanita untuk menyumbang kepada pembangunan negeri ini,” katanya pada Majlis Perasmian Aneka Bubur anjuran PPWS Cawangan Lawas bersama Baitulmal Cawangan Lawas di gelanggang Arena Lawas, baru-baru ini.

Beliau berkata, pada bulan Ramadan ini terdapat banyak program yang menjurus kepada semangat kerjasama dan perpaduan dalam melancarkan semua projek pembangunan.

Kerajaan yang mengiktiraf peranan wanita tetap memberi sokongan padu kepada PPWS, katanya.

“Sebab itulah kita tidak teragak-agak melulus permohonan mendapat rumah PPWS yang kini telah lama siap dan menjadi ruang PPWS Cawangan Lawas untuk terus aktif," ujarnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong dan isteri Datin Tunong Palong, Setiausaha Eksekutif Parti PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, warga PPWS dan Baitulmal Lawas.

Sumber dari : Jiwa Bakti